Wednesday, October 1, 2014

I AM SO SORRY....

Assalamualaikum...may Allah bless upon you.

Saturday, November 6, 2010

Benarkah amalan demokrasi suatu budaya sampah

"Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya." Kami (para sahabat) bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah yang engkau makdsudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?" Baginda menjawab, "Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?"
 (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sistem demokrasi wujud hasil pemikiran golongan pemikir Yunani yang sememangnya tidak bertauhidkan Allah SWT. Sistem ini kemudiannya digunapakai oleh Barat dalam sistem pemerintahan mereka. Secara ringkasnya sistem demokrasi merupakan sistem pemilihan pemerintah melalui undian majoriti rakyat. Kumpulan yang mendapat undian terbanyak layak untuk memerintah sesuatu negara walaupun mereka tidak mendapat sokongan daripada keseluruhan rakyat.

Pendek kata, untuk menjadi pemerintah usaha yang perlu mereka lakukan adalah satu, iaitu memenangi hati rakyat dengan janji-janji manis bahawa segala keperluan keduniaan mereka akan ditunaikan. Maka, pihak yang lebih pandai berkata-kata, berhujah serta menabur janji-janji manis akan diisytiharkan pemenang.

Apa akan terjadi sekiranya kedua-dua belah pihak pandai berkata-kata dan bijak menabur janji-janji manis sekaligus pandai menawan hati rakyat? Maka sudah tentu persaingan bakal menjadi lebih sengit kerana apa lagi senjata yang mampu digunakan untuk menawan hati rakyat?

Senjata sulit terakhir yang boleh digunakan adalah dengan mencari keburukan-keburukan pihak lawan agar nama pihak lawan menjadi busuk di mata rakyat dan manakala mereka bakal dijulang sebagai perwira atau penyelamat. Senjata ini lama-kelamaan bukan lagi menjadi senjata sulit yang akan digunakan di saat-saat genting, tetapi akhirnya menjadi senjata utama masing-masing sehingga usaha memberikan kebajikan kepada rakyat dipinggirkan. Cuma akan kedengaran semula apabila hampirnya pilihan raya bagi memilih calon terbaik.

Perseteruan di antara kedua-dua belah pihak ini lama-kelamaan menjadi muak di mata rakyat kerana ibarat gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah. Sistem demokrasi yang di atas kertas nampak cantik, akhirnya menjadi kotor ibarat sampah apabila pemimpin sama pemimpin yang diharapkan rakyat kini berbalah sesama mereka mencari silap pihak lawan. Lucunya, mereka mempertahankan sikap ini dengan alasan rakyat berhak mengetahui keburukan pihak satu lagi. Ajaran manakah yang menuntut kita supaya memburuk-burukkan peribadi orang lain walaupun sememangnya salah? Mampukah dengan sikap hentam-menghentam, buruk-memburuk, dan hina-menghina orang lain ini mampu mewujudkan masyarakat yang terbaik? Adakah pasti sikap seburuk ini tidak akan menular ke dalam budaya masyarakat?

Perbalahan demi perbalahan akhirnya semakin mengundang rasa ketidakpuashatian di satu-satu pihak. Akhirnya dek kerana tidak mampu bergaduh sendirian, lalu mengumpul rakyat yang pro kepada mereka bagi mengadakan demonstrasi bantahan yang cuma menyusahkan pengguna jalan raya, merosakkan harta benda awam dan sebagainya.

Mari kita langsung menyentuh isu menegakkan Islam sebagai satu cara hidup masyarakat. Adakah anda melihat sebarang unsur dakwah kepada Islam dalam contoh-contoh di atas? Baiklah, mari kita melihat lebih terperinci  kumpulan yang mendakwa pergerakan Islam namun akhirnya turut bersaing menjadi gajah terhandal.

Bagaimana satu pergerakan yang dianggotai oleh ulamak-ulamak boleh memilih sistem yang penuh kekotoran ini? Apa yang mereka mahukan sebenarnya daripada sistem ini? Paling penting apa matlamat perjuangan mereka? Adakah untuk menjadikan negara sebuah negara Islam yang makmur, dengan rakyat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam? Atau, matlamat mereka untuk merebut kuasa semata-mata? Saya tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus kerana sebagai ulamak tidak semestinya mereka bebas daripada sebarang kesilapan sedangkan Rasulullah sendiri pernah ditegur Allah SWT kerana tidak mahu mendengar pendapat si buta. Mungkin ini adalah satu-satunya kesilapan mereka kerana memilih jalan berpolitik.

Untuk melihat perkara yang lebih besar, kita perlu merenung dan mengkaji perkara-perkara yang lebih kecil supaya mendapat iktibar. Setiap tumbuhan tumbuh bermula daripada percambahan akar sebelum mengeluarkan dahan, ranting dan akhirnya daun serta buah-buahan. Pelajarilah daripada kejadian alam. Untuk mendapatkan sesuatu matlamat, perlulah diusahakan melalui perkara asasnya dahulu. Mana mungkin kita mengharapkan buah sedangkan akar serta pokoknya belum lagi wujud. Begitu jugalah dengan matlamat menjadikan negara ini negara Islam. Layakkah kita mengaku sebagai sebuah negara Islam sedangkan hanya pemimpin yang beragama Islam tetapi rakyat masih hanyut. Layakkah kita mengaku sebagai negara Islam sedangkan pemimpin sendiri yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi sibuk berpolitik mempertahankan kuasa lalu terlupa untuk berdakwah kepada rakyat?

Itulah realitinya yang perlu kita sedari dan seharusnya pergerakan Islam tersebut mengambil iktibar. Adakah mereka yakin dengan memperoleh kuasa mereka mampu mengislamkan semua rakyat serta mengembalikan rakyat yang terpesong kepada ajaran Islam? Sedangkan kita yang tidak berpengetahuan luas tentang Islam ini juga sedar satu perkara iaitu Islam tidak dapat disebarkan secara paksa tetapi secara sukarela. Lihat sahajalah contoh di negeri yang dimenangi oleh mereka. Anda masih akan melihat rakyat yang tidak bertudung, berpeleseran di sana sini walaupun tiadalah tempat-tempat yang dinamakan disko dan pusat judi. Cuma itukah sahaja yang mampu mereka lakukan atas nama Islam? Mencantas unsur-unsur yang boleh melalaikan rakyat tetapi pengisian ke dalam jiwa rakyat tiada, ataupun kurang dilaksanakan.

Baiklah, kita terima alasan mereka bahawa mereka tidak mampu menghalang rakyat negeri sendiri daripada berhijrah ke negeri-negeri jiran yang masih mempunyai unsur-unsur maksiat tersebut. Seandainya mereka mempunyai kuasa memerintah negara, sudah tentu mereka mampu menutup semua pusat tersebut dan dapat menghindari rakyat daripada lalai dan mendekati maksiat. Tetapi bagaimana mereka mampu mengelakkan rakyat daripada unsur-unsur maksiat ini yang masih ada di luar negara? Mahu menjadi penakluk dunia pula baru rakyat cenderung kepada Islam? Atau dengan melaksanakan undang-undang hudud agar rakyat menjadi takut untuk melakukan maksiat? Saya tidak menolak hukum hudud, tetapi adakah wajar untuk hudud dilaksanakan sedangkan usaha dakwah kepada rakyat belum lagi dilaksanakan. Hudud hanya boleh dilaksanakan apabila umat Islam benar-benar faham dengan ajaran Islam tetapi masih mahu melakukan kesalahan.

Jadi setelah huraian panjang lebar di atas, dimanakah penyelesaiannya? Bagaimanakah untuk menerapkan Islam dalam hati manusia sedangkan kita tidak mempunyai kuasa melakukannya? Jawapannya, adakah kita perlukan kuasa baru boleh menyebarkan dakwah?Kuasa adalah capaian terakhir setelah segala misi dan usaha dakwah telah berjaya. Ingat semula, pokok tidak tumbuh tanpa akar.

Setelah 50 tahun lebih negara merdeka, berhasilkah usaha anda menerapkan ajaran Islam kepada rakyat Malaysia? Mampukah anda menarik rakyat bukan beragama Islam kepada Islam? Tidak dinafikan memang ada, tetapi berbaloikah dengan tempoh usaha anda lebih 50 tahun dahulu. Dan, yang paling penting sekali berjayakah anda mewujudkan persepsi yang baik orang bukan Islam dan orang yang semakin jauh daripada Islam kepada ajaran Islam yang sebenar? Cuba anda bayangkan seandainya usaha politik sia-sia selama 50 tahun itu digunakan ke arah usah berdakwah tanpa memikirkan perebutan kuasa, bukankah berkali ganda usaha yang boleh dilakukan dengan jumlah masa yang tidak terbuang kerana sibuk mencari kesalahan orang?

Belajarlah daripada sejarah bagaimana Raja Habsyah yang beragama Kristian mampu dibawa memeluk Islam dengan hanya melalui jalan dakwah. Biarlah dahulu pemimpin itu dengan sikap zalimnya. Tunjukkanlah teladan yang terbaik mudah-mudahan mereka kembali kepada jalan yang benar. Di samping itu, bimbinglah rakyat menjadi muslim yang sejati kerana pemimpin itu bersilih ganti. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah SWT, pemimpin yang menggantikan itu adalah dikalangan muslim yang terbaik kerana tiada lagi pengganti yang mahu mengikut sifat zalim pemerintah disebabkan usaha dakwah selama ini. Seandainya pemimpin itu mengancam umat Islam, tiada apa lagi cara selain berjihad menggulingkannya.

Ingatlah, untuk menegakkan agama Allah SWT hanya ada satu cara sejak zaman Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw sendiri iaitu dengan cara berdakwah. Tiada istilah demokrasi dalam setiap zaman kewujudan Nabi-Nabi tersebut. Sekiranya anda masih mahu menggunakan hujah usaha dakwah sudah tidak praktikal disebabkan dunia dan zaman sudah berubah, bagaimana pula dengan janji Allah SWT bahawa di akhir zaman Imam Mahdi akan muncul dan Nabi Isa akan turun untuk membawa semula manusia menyembah Allah SWT? Adakah anda rasa mereka akan menggunapakai konsep demokrasi untuk menentang Dajjal? Siapa yang mempunyai pengikut terbanyak akan memerintah dunia? Bagaimana jika pengikut Dajjal lebih ramai? Perlukah kita menjadi pengikutnya semata-mata menghormati sistem demokrasi?

Mengikut kisah apabila munculnya Imam Mahdi ramai umat Islam akan menjadi murtad kerana berpaling daripada mengikutinya. Hal ini bukan kerana ajaran yang dibawa olehnya tidak benar. Imam Mahdi akan muncul untuk memperbaharui serta mengembalikan Islam yang sebenar. Maka apabila manusia telah berasa begitu selesa dengan cara hidup dan percaturan dunia yang tidak berlandaskan Islam ini, maka siapa yang mahu meninggalkannya semata-mata mahu mengikut Imam Mahdi? Janganlah kita menjadi di kalangan manusia yang turut menolak dakwah Imam Mahdi dan Nabi Isa semata-mata merasakan pendekatan mereka itu sudah lapuk dan tidak releven lagi di zaman ini. Semoga kita ditempatkan di kalangan hamba-hamba yang beriman.

Kesimpulannya, sistem demokrasi terbukti tidak mampu mewujudkan masyarakat Islam yang sebenar kerana di samping berusaha untuk menerapkan ajaran Islam, gerakan Islam ini akan meninggalkan satu lagi cabang syiar Islam iaitu berjihad mempertahankan agama dan negara. Amalan demokrasi akan menjauhkan manusia daripada keberanian mempertahankan agama dan negara Islam seandainya diancam. Demokrasi juga terbukti tidak mampu menyatupadukan rakyat supaya mentaati pemimpin kerana seandainya gerakan Islam ini menang, masih ada kumpulan yang akan menentang mereka. Sampai bila hal ini akan berterusan? Bagaimana pula dengan hukum jizyah yang wajib dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintahan Islam? Adakah mereka mahu menolakpakai hukum ini semata-mata menghormati amalan demokrasi? Sekiranya mereka mahu melaksanakan, realitinya adakah orang-orang bukan Islam ini mahu membayar sedangkan mereka juga mempunyai perkongsian kuasa di dalam negara? Sebab itulah, Islam itu sendiri perlu berdiri tegak dan kuat melalui asas-asas penerapan Islam yang sebenar. Apabila Islam itu berdiri tegak, orang-orang bukan Islam tiada masalah untuk bernaung di bawah pemerintahan mereka.

Segala yang baik datangnya daripada ilham yang diberikan oleh Allah SWT ketika menulis artikel ini, dan segala yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri. Wassalam

p/s: Wahai PAS, bangkitlah dan sedarlah. Di waktu gerakan Islam Al-Ikhwan yang dahulu digelar Al-Arqam ini mampu mengumpul pengikut ramai yang taat kepada Allah SWT melalui jalan dakwah, dan berjaya membina rangkaian perniagaan mereka sehingga ke luar negara tanpa meletakkan pegangan kuasa sebagai matlamat utama, PAS masih lagi menadah kopiah meminta sumbangan derma.

Thursday, November 4, 2010

Kenapa pentingnya menjaga bangsa dan tanah air

Dalam artikel kali ini, saya ingin mengupas mengapa setiap manusia itu perlu menjaga bangsa mereka sebagai mana pentingnya kita menjaga agama Islam. Menjaga bangsa bukan bermakna bersifat perkauman atau menolak bangsa-bangsa yang lain. Menjaga bangsa adalah untuk menjaga martabat bangsa di mata bangsa-bangsa yang lain. 
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat: 13)

Allah SWT telah menetapkan dalam dunia ini mempunyai pelbagai bangsa dan bersuku puak iaitu mempunyai daerah-daerah atau kawasan masing-masing dengan tidak lain tidak bukan bertujuan untuk memakmurkan bumi Allah SWT selaku khalifah di muka bumi ini.

Setiap bangsa ini telah dilahirkan dengan sifat peribadi dan keunikan masing-masing sesuai dengan persekitaran daerah atau kawasan masing-masing. Setiap bangsa mempunyai daya tahan diri tersendiri yang telah diberikan oleh Allah SWT sesuai dengan jenis iklim dan faktor pemakanan di sesuatu kawasan. Bayangkan jika kita cuba mengubah penduduk eskimo ke Afrika, dan orang Zulu ke kutub utara. Barangkali, mungkin orang Eskimo terpaksa menjadi kejam kepada orang Zulu supaya menyediakan tempat tinggal berteduh yang nyaman untuk mereka semata-mata mereka tidak mampu untuk berpanas terik.

Kemungkinan juga, orang Zulu pula terpaksa bertindak kejam terhadap penduduk eskimo merampas hasil tangkapan ikan dan buruan mereka semata-mata disebabkan mereka tidak tahan dengan sejuk dingin cuaca di kutub utara. Atau mungkin, masing-masing akan mati kelaparan dalam jangka masa yang singkat disebabkan tidak mampu dan mahu mengadaptasi dengan corak serta cara kehidupan di tempat baru itu. Jika tidak mereka yang mati, kemungkinan pula kawasan yang baru mereka diami itu akan mengalami kemusnahan yang amat dasyat semata-mata untuk menyesuaikan dengan diri masing-masing. Contohnya, orang Zulu akan melakukan pembakaran luas yang terbuka di kutub utara untuk mendapatkan haba, manakala orang Eskimo akan mengorek parit atau lubang yang panjang dan dalam daripada sumber air supaya dapat menyejukkan badan mereka.

Kerana itu, setiap bangsa diberikan satu kawasan masing-masing untuk dijaga supaya bumi ini sentiasa aman dan makmur. Apa yang akan terjadi sekiranya migrasi satu-satu bangsa yang tidak seharusnya berada di sesuatu kawasan? Seandainya jumlah mereka kecil, mungkin tidak akan menjadi ancaman kepada penduduk asal. Sebaliknya jika proses migrasi ini dilakukan dalam jumlah yang besar tidak mustahil bakal menjadi ancaman kepada penduduk tempatan yang asal bukan sahaja dari segi pemilikan tanah dan ekonomi, bahkan menggugat budaya asli penduduk tempatan semata-mata penduduk migrasi enggan berasimilasi dengan budaya tempatan.

Berdasarkan surah Al-Hujurah ayat 13 di atas Allah SWT menyuruh kita supaya berkenal-kenalan sesama bangsa dan puak itu. Maksudnya di sini, setiap bangsa perlulah mengenali diri dan bangsa mereka dahulu sebelum mengenali bangsa-bangsa yang lain. Itulah maksud berkenal-kenalan iaitu membawa maksud saling. Namun sesetengah pihak cuma mempolitikkan ayat ini dengan mengambil hujung pangkal ayat ini sahaja iaitu bangsa yang terbaik adalah bangsa yang baik amalannya di sisi Allah SWT.

Mari kita lihat kronologi bagaimana kita menuju zaman kehancuran. Orang kafir tahu  bahawa mereka tidak mampu mengalahkan Islam dengan cara hanya peperangan. Sebab itulah, satu strategi licik yang telah dijalankan pada zaman penjajahan adalah mereka membawa masuk rakyat asing dalam kuatiti yang bukan sedikit ke Tanah Melayu ini. Strategi ini adalah untuk melumpuhkan kuasa majoriti penduduk tempatan dalam mempertahankan tanah air supaya negara ini dikongsimilikan. Ini adalah strategi menghancurkan suku puak penduduk tempatan.

Namun, strategi ini belum mampu sepenuhnya meruntuhkan Islam penduduk tempatan kerana bangsa Melayu telah sebati dengan agama Islam sejak zaman berzaman. Maka, strategi seterusnya adalah dengan permainan politik hentam-menghentam pihak lawan, dan bela mengkhinzir buta pihak sendiri walaupun ada cacat-celanya. Maka terhasillah satu istilah "perkauman" yang wujud hasil permainan politikus kotor seperti tikus. Istilah ini wujud untuk menghalang rakyat daripada menyentuh sensitiviti kaum yang lain sedangkan kita lupa, sensitiviti kita telah lama calar dan robek ketika proses migrasi besar-besaran dahulu kala. 

Bukan kita mahu membenci bangsa yang lain kerana menetap di sini, tetapi kita marah kerana kedatangan mereka bukan untuk mengenali penduduk tempatan, sebaliknya mahu menguasai tanah asal orang tempatan. Siapa yang tidak marah apabila tetamu yang tiba-tiba datang mahu memilih "master bedroom" atau bilik utama rumah kita untuk tidur. Seterusnya, mereka merebut ruang tamu pula. Akhirnya, seluruh rumah mahu dimiliki atas alasan sudah lama menetap di rumah kita.

Kita tidak pernah menolak ayat dari surah Al-Hujurat tersebut kerana bangsa Melayu memang terkenal dalam melayani tetamu. Kita juga suka mengenali mereka. Buktinya sejak pemerintahan Srivijaya lagi, bangsa Melayu telah lama belayar ke merata ceruk dunia untuk berdagang sambil mengenali tamdun bangsa yang lain. Namun, jangan kerana dek kebaikan, mahu pula diambil kesempatan. Cubalah berasimilasi dengan budaya tempatan jika benar sayangkan negara ini. Ini tidak, berbahasa pun masih berterabur. 

Akhir sekali, cuba perhatikan di awal ayat tersebut:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan...
Nah, ini satu lagi bukti kenapa kita perlu menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa bangsa itu tidak penting di sisi Allah SWT. Dalam satu ayat yang sama, Allah SWT telah mengatakan dia menjadikan manusia ini berbangsa-bangsa dan bersuku puak. Namun ayat ini telah diselewengkan dengan satu teori bahawa Allah SWT tidak melihat bangsa dan warna kulit melainkan amalan sahaja. Sekali lagi ingin saya tegaskan, Islam tetap nombor satu walaupun bangsa lain beragama Islam yang memerintah negara ini. Tetapi itu itu tidak bermakna kita harus menolak takdir Allah SWT yang menjadikan kita bersuku puak ini? 

Jika semangat perkauman ini diketepikan, adakah suatu hari nanti kita akan menerima pakai teori kejantinaan pula? Adakah satu hari nanti kita akan mengagungkan satu Malaysia, satu jantina? Ingat, ini dalam satu ayat yang sama. Mungkin pada satu hari nanti budaya barat gay dan lesbian itu akan melekat ke dalam budaya kita pula. Kali ini apa pula hujah yang bakal digunakan untuk menyokong jantinalism ini? Mungkin mereka akan memutarbelitkan kisah turunnya Islam untuk membela nasib wanita supaya setanding dengan lelaki. Ini tidak mustahil terjadi memandangkan di barat sudah lama terjadi dan tidak mustahil akan menular ke sini.

Kedatangan Adam Lambert baru-baru ini ke Malaysia bagi menganjurkan konsert merupakan salah satu usaha ke arah jantinalisme. Untuk pengetahuan konsert ini mendapat sambutan di kalangan bangsa yang telah migrasi ke negara ini. Inilah satu lagi kesan yang akan terjadi apabila bangsa kita tidak bersatu di atas nama Islam. Bangsa perlu kuat supaya bangsa lain akan segan dengan kita. Kita perlu sedar bahawa faktor bangsa Melayu memeluk Islam adalah kerana suatu masa dahulu bangsa kita adalah bangsa yang kuat dan gagah di mata dunia. Sebab itulah, apabila raja-raja Melayu memeluk Islam, akan turut dianuti oleh rakyatnya. Adakah anda rasa sekiranya Islam itu dikenalkan hanya kepada kaum minoriti orang asli, maka Islam itu mudah tersebar dengan luas ke seluruh Malaysia ini? Fikir-fikirkanlah...adakah bangsa itu tidak penting?

Apa yang ditulis ini mungkin bukanlah seratus peratus tepat namun tidaklah harus ditolak sepenuhnya.